~:muslimah sejati:~
Wednesday, 2 May 2007
Kedudukan Wanita Sebelum Dan Sesudah Islam.......

"Masalah kedudukan wanita di dalam perundangan Islam adalah yang kerap kali sengaja disalahertikan oleh sesetengah golongan dengan cuba menimbulkan satu dua persoalan yang agak kontroversi, lalu dikatakan Islam tidak dapat memberi tempat yang wajar kepada wanita dalam aspek perundangannya. Sedangkan masalah wanita dalam perundangan Islam tidak sesekali boleh dilihat dari satu sudut sahaja atau dari satu dua masalah yang ditimbulkan, malah mestilah dilihat setiap dari segenap aspek dan liku-liku dan dinilaikan dari keseluruhan perundangan itu sendiri.
Di sampaing itu membandingkannya dengan beberapa perundangan-perundangan yang lain, barulah akan diketahui di mana letaknya taraf wanita dalam perundangan Islam sebenarnya.Dalam meninjau dan menilai kedudukan wanita dalam perundangan Islam, kita agak sukar untuk mengukur apakah yang diberi dan dibela oleh Islam untuk kaum wanita, tanpa mengetahui dan meneliti taraf dan kedudukan wanita (pada umumnya) dalam perundangan-perundangan yang lain; serta dalam perundangan-perundangan yang wujud sebelum kedatangan Islam dan perundangan-perundangan yang diciptakan selepas kedatangan Islam. Dengan mengetahui sepintas lalu (sekurang-kurangnya) kedudukan wanita dalam perundangan-perundangan tersebut akan jelaslah apa yang diberikan oleh Islam untuk wanita. Apakah undang-undang yang ada di dalam Islam merupakan peghinaan kepada wanita ataupun kehormatan dan kemuliaan yang tidak ada tolok bandingnya dalam mana-mana perundangan di dunia.
Wanita Dalam Perundangan Greek
Dalam sejarah ketamadunan manusia, tamadun Greek dianggap suatu tahap tamadun yang boleh dibanggakan buat zaman itu. Namun behitu wanita ketika itu menurut Prof. Dr. Mustapha Assibaie ( dalam kitabnya : المرأة بين الفقه والقانون halaman 13); wanita hanya dikurung di dalam rumah, tidak diberi peluang untuk belajar, dihina dan dianggap khadam yang najis sahaja.Wanita juga boleh dijual beli seperti barang dagangan. Tidak mempunyai apa-apa hak untuk membantah. Malah tidak ada apa-apa hak dalam menentukan kehidupan selain dari makan minum, tempat tinggal dan pakaian.Di kemuncak tamadun Greek pula wanita dijadikan alat pemuas nafsu lelaki, model-model perempuan bogel dipopularkan dan merebaklah keruntuhan moral yang akhirnya tamadun Greek turut runtuh bersama-samanya.
Wanita Dalam Perundangan Romawi
Wanita dalam perundangan Romawi (Rome) adalah lebih menyedihkan. Di masa muda remajanya, wanita dikongkong di bawah kekuasaan penjaganya samada bapa atau datuknya atau sebagainya, yang diistilahkan dengan ‘Peter Families’.Kekuasaan seseorang penjaga tidak dihadkan, malah boleh menghalau wanita itu keluar rumah atau menjualnya, tanpa pembelaan undang-undang untuk mereka. Lebih dari itu, hak hidup bagi seorang wanita boleh ditentukan oleh penjaganya. Demikian menurut Prof. Dr. Abdul Wahid Wafi (dalam kitabnya : المرأة فى الإسلام ). Sesudah berkahwin wanita berubah milik dari bapanya kepada suaminya dan terputuslah hubungan dengan keluarganya yang asal. Suami pula berhak mengisikan tempat yang telah dikosongkan oleh bapanya, dalam tindak-tanduknya terhadap wanita itu. Demikian ditegaskan oleh V. Girad dalam buku penulisannya yang berjudul “ Droit Romain” halaman 180.Keadaan yang menyedihkan kaum wanita ketika itu telah cuba diselamatkan di zaman Justinian (yang mati pada 565M) dengan suatu undang-undang yang dikenali dengan’ Justinian Law’ tetapi gagal mengubah keadaan kecuali dalam beberapa hal sahaja.Sebelum ‘Justinian Law’ itu ada suatu undang-undang yang dikenali dengan istilah Arab iaitu" قوانين الالواح الاثنا عشر" atau undang-undang dua belas. Dalam undang-undang tersebut disentuh tentang kelayakkan mendapat hak sivil. Kelayakkan tersebut hendaklah tiga syarat :Cukup umur.Siuman akalnya.Lelaki.Jelaslah di sini bahawa wanita diketika itu berada di dalam keadaan yang menyedihkan.
Wanita Dalam Perundangan Yahudi
Di dalam kitab سفر الخروج iaitu Kitab Agama Yahudi perkara 7-12 ada menjelaskan :Maksudnya“Seseorang bapa yang susah hidupnya boleh menjual anak perempuannya bersama-sama dengan kumpulan hamba bagi mengatasi kemiskinan.”Dalam kitab agama Yahudi yang dikenali dengan ‘Talmud’ ada tercatat :“ Tidak boleh seorang perempuan Yahudi mengadu kepada sesiapa jika didapati bahawa suaminya telah melakukan hubungan seks dengan perempuan lain walaupun di dalam rumah mereka sendiri.”Di muka yang sama dalam kitab Talmud itu juga terdapat begini maksudnya :“Lelaki Yahudi boleh melakukan apa sahaja kepada isterinya, ia boleh menikmatinya sepertimana dia menikmati seketul daging yang dibeli di pasar samada dengan merendam, membakar atau apa sahaja yang digemarinya, atau melemparkannya sahaja.“Prof. Dr. Mustapha Assibaie di dalam kitabnya yang tersebut tadi, halaman 19 ada menyebut :“Anak-anak perempuan Yahudi tidak boleh mendapat sebarang harta pusaka daripada harta-harta yang boleh dipindahkan seperti wang, emas perak jika ada dikalangan kelaurganya itu ada seorang anak lelaki, meskipun emas perak itu yang ditinggalkan itu berpikul-pikul.”Jika harta benda yang ditinggalkan itu harta benda tetap seperti tanah, rumah dan sebagainya, maka perempuan-perempuan itu tidak boleh menerima pusaka, Cuma boleh menerima belanja hidup dari si lelaki yang menguasai pusaka itu.Di dalam kitab Torah terdapat begini maksudnya :“Wanita-wanita adalah lebih bahaya atau lebih bala daripada lelaki. Sejahat-jahat lelaki ada sekurang-kurangnya seorang yang baik dari seribu orang, sedangkan bagi perempuan tidak akan terwujud perkara seperti itu.”
Wanita Dalam Perundangan Barat
Di dalam undang-undang Inggeris sehingga tahun 1805 diharuskan seseorang menjual isterinya. Undang-undang tersebut telah menetapkan harga minima bagi seorang wanita iaitu 6 pence. Pernah berlaku di suatu masa selepas undang-undang itu digantikan, seorang Inggeris dalam tahun 1931 telah menjual isterinya dengan harga 500 paun. Peristiwa ini telah sampai ke pertuduhan mahkamah. Peguam lelaki tersebut di dalam pembelaannya telah menyebut bahawa perbuatan anak guamnya itu tidak bersalah kerana ternyata wujudnya undang-undang Inggeris yang mengharuskannya di suatu masa yang baru lalu.Pendakwa telah berhujah dengan mengatakan walaupun benar apa yang disebut oleh peguambela, tetapi sebenarnya undang-undang itu telah dimansuhkan di dalam tahun 1805. Akhirnya lelaki tadi telah dihukum dengan 10 tahun penjara.Di dalam majalah yang bernama حَضَارَةُ الإِسْلامُ (Tamadun Islam) keluaran tahun 1916 ada memuatkan kisah seorang Itali yang menjualkan isterinya kepada seorang lelaki dengan bayaran ansuran. Apabila pembeli tersebut kemudiannya enggan menjelaskan baki harga perempuan tersebut, lalu berlakulah pergaduhan yang menyebabkan pembeli itu terbunuh.Apabila berlaku Revolusi Perancis perisytiharan mengharamkan penindasan sesama manusia dibuat. Tetapi tidak termasuk penindasan terhadap wanita. Di dalam undang-undang sivil Perancis ketika itu ada dinyatakan bahawa wanita tidak layak mendapat hak sivil sepenuhnya. Tidak boleh menjual beli dan membuat kontrak tanpa keizinan penjaganya. Hal tersebut berlanjutan hingga tahun 1938.Prof. Dr. Ali Abdul Wahid Wafi di dalam kitabnya halaman 20 telah berkata :“Keadaan wanita di Perancis amat menyedihkan hingga ke zaman akhir-akhir ini, malah hingga kini pun masih tidak terbela sepenuhnya. Mereka disisihkan dari undang-undang sebagai tidak layak mendapat sepenuhnya hak sivil.”Dalam undang-undang Sivil Perancis (Kod Napoleon) perkara 217 tercatat :“Perempaun yang telah berkahwin, meskipun perkahwinannya diasaskan di atas sesuatu persetujuan pengasingan hakmilik harta suami isteri, namun begitu tidaklah bererti membolehkan isteri itu menghebahkan atau memberi hartanya atau memindahmilik atau menggadaikannya atau membelikan sebarang harta baru tanpa disertai dengan suaminya di dalam kontrak atau persetujuan suami tersebut secara bertulis.”Satu hal yang ketara lagi apabila seorang perempuan telah berkahwin, maka secara automatis namanya dan keluarganya hilang, dan ditukarkan dengan nama yang dikenali sebagai Mrs...(nama suaminya). Dengan kahilangan itu akan hilang namanya sendiri dan nama keluarganya. Semua larut di dalam nama suaminya.
Wanita Di Dalam Islam
Kalau dinilaikan seperti yang digambarkan di atas, ternyata betapa rendahnya kedudukan wanita dalam berbagai-bagai masyarakat manusia di dunia ini. Oleh kerana keadaan itu sengaja dibuat-buat oleh manusia dan ianya merupakan suatu bentuk penganiayaan manusia terhadap manusia yang berlainan jenis, maka Allah s.w.t telah mengutuskan rasul-Nya Muhammad (s.a.w) untuk memperbaiki kepincangan dan menempatkan wanita ke taraf yang sewajarnya. Muhammad (s.a.w) datang dengan ajaran yang benar dari Allah s.w.t dengan memperbetulkan yang salah dan mengangkat apa yang sepatutnya diangkat iaitu dengan meletakkan wanita dalam perundangan Islam kepada tempat dan keadaannya.Al – Quran dan hadith telah menentukan kedudukan yang wajar bagi kaum wanita dan menjamin hak-haknya supaya tidak disalahertikan oleh kaum lain.Persamaan tarafKaum wanita pada umumnya adalah sama tarafnya dengan kaum lelaki dengan masing-masing mempunyai keistimewaannya tersendiri. Tidak dibenarkan cemuh-mencemuh antara satu sama lain seperti yang berlaku dalam perundangan yang sebelumnya, seperti yang dibentangkan sebelum ini. Malah ada ketikanya undang-undang Islam memperlihatkan kaum wanita, khususnya ibu-ibu adalah lebih mulia dari kaum lelaki, jika bertakwa lebih.Firman Allah dalam surah Al-Hujuraat : 13يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكّرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوباً وَقَبَآئِلَ لِتَغَارَفُواْ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan dijadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”Firman-Nya lagi surah Aa li ‘Imran : 195أَنِّى لآ أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى بَعْصُكُم مِّن بَعْضٍ“Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu baik lelaki atau perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain.”Rasulullah s.a.w bersabda :كلّكم لآدم وآدم من ترابٍ لا فضلَ لعربىٍّ على أعجمىٍّ ولا أبيضَ على أسودَ إلاّ بالتّقوى“Kamu semua berasal dari Adam dan Adam itu dari tanah, tidak ada kelebihan bagi seorang Arab dengan yang bukan Arab, bagi seorang yang berkulit putih dengan yang berkulit hitam, melainkan ketakwaan kepada Allah sahaja yang berbeza.”Dalam hadith yang lain Rasulullah (s.a.w) bersabda :النّسـاء شقائق الرّجال“Wanita-wanita itu adalah sebahagian daripada lelaki.”Hadith-hadith di atas riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tarmizi dan lainnya.Kelebihan-kelebihan khususDalam beberapa hal, Islam meletakkan kaum wanita, khususnya ibu-ibu, ke suatu tempat yang lebih mulia dari kaum bapa. Dalam suatu hadith yang diriwayatkan oleh an-Nasaie dan Muslim yang bermaksud lebih kurang :Seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah (s.a.w) lalu bertanya : “Wahai Rasulullah, siapakah yang paling baik berhak untuk saya dampingi?” Jawab Rasulullah : “Ibumu”. Bertanya lagi lelaki itu : “Kemudian siapa lagi?” Jawabnya : “Ibumu.” Siapa lagi tanyanya : “Ibumu” jawab Rasulullah lagi. Kemudian “siapa lagi?” Barulah diberi jawaban oleh Rasulullah (s.a.w) kemudiannya iaitu : “Bapamu.”Daripada hadith itu Rasulullah (s.a.w) telah bersabda lagi yang bermaksud : “Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.”Tanggungjawab bersamaIslam telah memperbetulkan tanggapan yang salah pada sesetengah manusia terhadap fahaman-fahaman agama yang terdahulu yang masih dipegang hingga ke hari ini mengatakan : kerana kesalahan dan dosa perempuanlah (Hawa) maka semua kaum lelaki terpaksa menanggung dosa. Malah ada yang beranggap yang mengatakan perempuan itu adalah makhluk yang suka membuat angkara sehingga lelaki terpaksa menanggung beban, padahal yang sebenarnya tidak begitu.Seperti firman Allah surah Al-Baqarah : 36فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطَانُ عَنْهَا فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ“Maka menggodalah Syaitan akan kedua-duanya (Adam dan Hawa) sehingga mereka berdua dikeluarkan darinya (Syurga).”Disini sangat jelas bahawa kesalahan pertama yang dilakukan oleh manusia adalah kesalahan antara lelaki dan perempuan yang tidak boleh dipersalahkan satu pihak sahaja. Semuanya adalah tanggungjawab bersama.Konsep ganjaran berdasarkan amalanWanita di dalam Islam sebenarnya berdiri di atas kakinya sendiri, yang akan diperhitungkan amal baktinya mengikut tenaga usahanya. Mereka berhak apa yang lelaki berhak, tanpa dibeza-bezakan, sesuai dengan keadaan fizikalnya.Allah telah berfirman di dalam surah An-Nahl : 97 yang bermaksud :“Siapa yang berbuat baik samada lelaki atau perempuan dengan syarat mereka beriman, maka sesungguhnya akan diberikan kepadanya kehidupan yang bahagia dan sesungguhnya Kami beri balasan pahala kepada mereka dengan pahala yang lebih dari apa yang telah mereka kerjakan.”Firman Allah s.w.t lagi surah Al-Ahzaab : 35إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّدِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتصَدِّقَاتِ وَالصَّآئِمِينَ وَالصَّآئِمَاتِ وَالِحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللهَ كَثِيراً وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا“Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang beriman, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan dalam kebenaran, lelaki dan perempuan yang bersabar, lelaki dan perempuan berkeadaan khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah , lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara akan kehormatan mereka, lelaki dan perempuan yang banyak mengingati Allah, lalu Allah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang tak terhingga.”
Hak-hak sivil
Islam telah memberikan hak sivil kepada kaum wanita sesuai dengan tabiat semulajadinya sebagai wanita dan telah meletakkan hak-hak itu di tempatnya yang betul. Kaum wanita diberi kedudukan tersendiri di dalam menentukan halatujunya. Tidak boleh dihina dan diperlakukan seperti barang dagangan. Mereka berhak di atas diri mereka.Perempuan yang telah sampai umur (baligh) berhak ke atas dirinya di dalam segala hal sivil pada umumnya. Perkahwinan adalah menurut kemahuannya. Di dalam mazhab Hanafi wanita yang baligh samada masih perawan atau telah janda tiada boleh dikahwinkan melainkan dengan kemahuannya. Malahan ia sendiri boleh mengahwini dirinya dengan sesiapa sahaja yang disukainya.Dalam mazhab Shafie, perempuan yang telah baligh jika dikahwinkan oleh walinya (bapa atau datuk atau sebagainya) dengan orang yang tidak setara dengannya, maka perempuan itu berhak membubarkan perkahwinan itu melalui kadi. Adapun seseorang perempuan yang telah janda samada kecil atau besar, ia berhak di atas dirinya sendiri bagi menentukan pasangan jodohnya dan tidak ada sesiapa pun yang boleh memaksanya untuk berkahwin dengan pasangan bukan pilihannya.Perlu juga disebut bahawa wanita-wanita dalam perundangan Islam apabila dikahwinkan, tidak sesekali akan bertukar namanya atau keluarganya seperti yang berlaku di dalam masyarakat Eropah yang ditiru oleh perempuan-perempuan Islam hari ini dalam menghilangkan namanya sendiri dengan menjadi Mrs...(so and so). Wanita-wanita Islam tetap dengan nama asalnya dan berbintikan dengan nama bapa atau keturunannya, tanpa perlu digantikan dengan nama keluarga suami yang hanya mendatang di dalam hidupnya. Tidakkah jelas bagi wanita Islam kini contohnya yang telah ditunjukkan oleh wanita yang terdahulu, khususnya isteri-isteri Rasulullah (s.a.w) sendiri seperti Khadijah, Aisyah, Hafsah dan lain-lainnya yang telah berkahwin dengan seorang manusia yang terpaling mulia, yang tertinggi darjat ketakwaannya dan paling dihormati baik dilangit mahupun dibumi iaitu Muhammad (s.a.w), tetapi tidak pula merubah akan nama isteri-isteri baginda. Dalam sejarah tetap terkenal dengan Khadijah binti Khuwailid, Aisyah binti Abu Bakr, Hafsah binti Umar dan sebagainya. Dan itulah realiti taraf wanita di dalam Islam bergantung kepada keperibadiannya. Tidaklah kepada keperibadian suaminya seperti yang terdapat sekarang.Tindakkan sesetengah pejuang hak kebebasan wanita “woman’s lib” di barat dan lain-lainnya masih menjadi tanda tanya bila mereka dengan rela menghilangkan nama sendiri yang ditukar kepada nama suami dengan menambah Mrs..di hujungnya sedangkan mereka tidak mahu dianggap rendah dan diperbeza-bezakan di dalam hak kehidupan sebagai wanita. Tidakkah dengan hilangnya nama dan nama keturunan sebenarnya telah merendahkan sendiri darjat yang seharusnya dipelihara? Dan apabila bertukar suami maka bertukarlah pula namanya itu. Seolah-olah diri wanita itu hanya wujud dan teguh bila tiada bersuami. Apabila telah bersuami telah larutlah nama dan hilanglah keturunannya. Di dalam Islam seseorang itu hendaklah dipanggil mengikut bapanya.Selain dari soal perkahwinan dan taraf wanita dalam perkahwinan tersebut, Islam telah memberikan hak-hak sivil, kepada wanita sesuai denga sifat semulajdinya. Wanita yang telah genap umur yang diistilahkan dengan “baligh” boleh bertindak sendiri dalam segala urusan. Boleh mengadakan sebarang kontrak, memiliki harta dan membelanjakannya serta boleh menentukan segala urusan pertukaran hak milik dan sebagainya. Di dalam Islam wanita bebas samada berkongsi dalam urusan-urusan kehidupannya, memberi,menghadiah atau mendermakan hartanya menurut kemahuan hatinya tanpa boleh diganggu gugat oleh keluarga walaupun bertaraf wali sekali pun, asalkan tindakkannya itu tidak bercanggah dengan hukum-hukum syarak.Dengan fakta-fakta yang ringkas di atas dapatlah disimpulkan bahawa wanita dalam perundangan Islam mendapat hak dalam berbagai bidang antaranya :Di bidang nilai kemanusiaan, Islam tidak membezakan antara lelaki dan wanita. Kedua-duanya adalah sama nilainya di sisi Allah dan pada pandangan manusia umumnya.Di bidang sosial pula wanita adalah dianggap oleh Islam sebagai anggota masyarakat yang sama-sama berhak dan sama-sama di dalam undang-undang seperti dalam melakukan perkara yang baik lalu diberi ganjaran yang baik manakala perbuatan yang jahat pula akan mendapat balasan yang setimpal.(Adapun perkara-perkara yang terdapat perbezaan sedikit sebanyak di dalam hak-hak yang tertentu, maka sememangnya bersesuaian dengan sifat semulajadi wanita. Berdasarkan apabila hak didapati maka ada pula kewajipan terhadap yang diberikan.)Di bidang hak milik pula wanita boleh bertindak bebas dalam memiliki hartanya, membelanjakan dan sebagainya. Wanita berhak menentukan arah matlamatnya bagi beberapa perkara seperti yang telah diterangkan.Hakikat Perbezaan Antara Lelaki Dan Wanita Dalam Sebahagian Kecil Undang-Undang IslamDr. R. Biot dalam bukunya yang berbahasa Perancis dan telah diterjemahkan ke Bahasa Arab (halaman 8) antara lain telah menegaskan :“Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa kesempurnaan hidup manusia seluruhnya perlulah menghala kepada menyuburkan perbezaan jenis manusia yang mantap. Agar lelaki mestilah menjaga sifat-sifat kelakian mereka supaya menjadi lelaki sebenarnya. Dan perempuan hendaklah menjaga keistimewaan agar terjamin kewanitaannya supaya menjadi perempuan yang sebenarnya. Tanpa pengkhususan itu hidup ini seluruhnya akan tergugat.”Islam terlebih dahulu menyedari hakikat manusia yang berbeza jenis di mana Allah Subhanahu Wata’ala telah menentukan hak-hak tersebut yang masing-masing mempunyai peranan dan keistimewaannya yang tersendiri. Allah telah menjadikan manusia lelaki dan perempuan, yang tiap-tiap mereka itu memerlukan antara satu sama lain. Kejadian kedua-duanya berbeza dari segi fizikal, tenaga, emosi dan sebagainya. Dengan perbezaan-perbezaan tersebut menjadikan masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri dan sesuai dengan sifat-sifat semulajadinya. Maka dengan perbezaan-perbezaan inilah juga Islam telah menetapkan suatu perundangan yang bersesuai dengan tuntutan fitrah manusia itu sendiri.Apabila Islam telah menetapkan dalam undang-undang bahawa wanita hanya mendapat separuh daripada hak lelaki dalam pembahagian harta pusaka, maka perbezaan itu disesuaikan dengan kewajipannya. Wanita tidak berkewajipan (perlu) membelanjakan hartanya walaupun kepada dirinya sendiri sekira dia mempunyai wali. Sedangkan lelaki diwajibkan membelanjakan hartanya untuk orang-orang di bawah tanggungannya, maka dengan sebab itulah hak lelaki dilebihkan dari perempuan berdasarkan kewajipannya itu.Dalam soal perkahwinan lelaki tidak pula berhak menerima sebarang bayaran daripada perempuan sebaliknya lelakilah yang berkewajipan memberi mahar (mas kahwin) kepada perempuan. Dengan hak yang diperolehi oleh lelaki tersebut maka tentulah ada kewajipannya. Islam telah menetapkan kewajipan, lelaki mestilah mencari nafkah untuk kepentingan rumahtangganya.Firman Allah s.w.t surah An-Nisaa’ : 4وَءَاتُواْ النِّسَـآءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيـئًا مَّرِيـئًا“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat lagi baik kesudahannya.”
Hak Dan Kewajipan Wanita Dalam Islam Dan Masalah-Masalah Semasa
Persoalan wanita dengan hak-hak yang mereka capai, kedudukan dan kegiatan mereka di abad dua puluh ini telah menjadi perbincangan yang hangat terutamanya di kalangan negara-negara dan masyarakat Islam yang sedang membangun dan maju seperti Malaysia, Indonesia, Pakistan dan negara-negara Arab. Di kalangan negara-negara Eropah, Amerika, Jepun, Russia, China Komunis dan sebagainya persoalan ini tidaklah begitu hangat kerana mereka telah menyamakan atau hampir menyamakan dengan hak-hak, kedudukan dan kegiatan kaum lelaki. Tetapi perkara yang hendak diperbincangkan di sini ialah patutkah negara-negara dan masyarakat Islam yang sedang membangun meniru atau mencontohi langkah-langkah negara barat dan sebagainya yang telah memberi hak begitu luas di dalam segala kegiatan? Apakah kebebasan wanita-wanita di Eropah dan sebagainya itu benar? Dan adakah hak-hak wanita yang diberi oleh Islam itu belum cukup untuk menbangun kemajuan yang tulen? Inilah pertanyaan yang harus diberi jawapan dengan tegas, sebab tujuan kita ialah mencari kebenaran dan mencari prinsip-prinsip yang sihat bagi wanita dan kesejahteraan umat manusia seluruhnya.Dunia sekarang sangat berbeza dengan dunia 100 tahun dahulu, kerana wujudnya kemajuan sains dan teknologi yang menjadikan ratusan negara di dunia sekarang sebagai suatu masyarakat. Apa-apa berlaku di Montreal terus diketahui dan dirasai di Sydney, atau gajala-gejala yang berlaku di Casablanca Afrika terus dan ketahui dan dirasai pengaruhnya di Malaysia begitulah sebaliknya.Setelah kaum wanita di barat dan negera-negara yang sealiran dengannya telah keluar untuk bekerja mencari saraan hidup, pihak kapitalis mengambil peluang menggunakan tenaga wanita di dalam kilang-kilang perusahaan dan perindustrian, kerana tenaga wanita di dalam sektor-sektor perusahaan dan perindustrian, kerana tenaga mereka itu lebih murah daripada tenaga lelaki sedangkan lelaki meminta gaji yang lebih. Wanita barat dan wanita-wanita yang di timur menuntut hak demokrasi dan hak persamaan dengan lelaki yang terpenting sekali ialah persamaan gaji untuk saraan hidup. Apabila mereka tidak berjaya di dalam tuntutan mereka lalu mereka meminta hak mengundi agar mereka mempunyai suara yang mesti diakui. Kemudian mereka menuntut menjadi wakil di dalam parlimen supaya mereka mempunyai suara dan pengaruh yang berkesan demi melaksanakan tuntutan persamaan itu.Di samping itu hendaklah diinsafi bahawa barat dan juga separuh dari negera-negara timur mengutamakan wanita di dalam separuh bidang-bidang pekerjaan yang tertentu terutamanya di gedung-gedung perdagangan, digudang-gudang akhbar, radio dan televisyen, di syarikat-syarikat pengiklanan, bank-bank dan sebagainya dengan mengeksploitasikan kaum wanita bagi melariskan lagi perniagaan dengan menggunakan naluri kejantinaan yang murah. Seperti di dada-dada akhbar atau majalah, mereka mamuatkan gambar-gambar perempuan jelita dan gambar-gambar yang bercorak seks untuk melariskan akhbar dan majalah mereka. Ini adalah suatu taktik yang licin dan murah yang harus disedari oleh wanita-wanita Islam dalam dunia hari ini. Perjuangan orang-orang barat dan separuh golongan di negara kita untuk membuat revolusi mental dan membebaskan kaum wanita Islam tidaklah banyak berdasarkan motif murni dan kemanusiaan yang tulen, tetapi ada banyak dorongan yang tidak sihat yang merendahkan taraf kaum wanita itu sendiri.Negara-negara di dalam barisan komunis pula telah mencanangkan slogan yang besar iaitu menyamakan lelaki dan perempuan di dalam segala bidang. Persamaan yang ditujukan itu ialah tentang pekerjaan dan gaji bila mana ada persamaan di dalam kerja dan gaji bermakna perempuan-perempuan telah bebas dan kaum wanita telah berjaya mendapat hak mereka sebab pokok persoalan hidup menurut tradisi komunis adalah wang atau material semata-mata. Segala dorongan manusia dan segala nilai-nilai kemanusiaan semuanya terangkum di dalam kebendaan sahaja.Wanita muslim hendaklah sedar bahawa hak mereka telah dijamin oleh Islam sejak 14 abad dahulu sebagaimana yang telah diterangkan di atas, tetapi Islam mengutamakan wanita di dalam sesetengah bidang pekerjaan di mana manusia mempunyai matlamat yang sangat besar dan tinggi iaitu mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat dengan mematuhi suruhan dan menjauhi segala larangan-larangan Aallah Ta’ala supaya mendapat kesejahteraan dan keredhaan Allah s.w.t. Matlamat ini lebih besar dan lebih murni daripada harta benda dan kebendaan, tujuan kehidupan lebih mulia dan lebih tinggi daripada makan minum sahaja.Jika diutamakan konsep kehidupan untuk ekonomi atau makan minum sahaja bermakna nilai hidup itu sendiri menjadi rendah.
Tradisi Dan Bahayanya
Harus kita renungi sematang-matangnya bahawa separuh golongan yang membuat kempen memperjuangkan hak-hak wanita ada terpengaruh dengan nilai-nilai tradisi barat yakni mahu jadi moden mahu mengejar kemajuan dan mahu membuat reformasi tanpa mengira baik dan buruknya.Tidak semua dari tradisi barat itu buruk dan tidak semua pula tradisi barat itu baik. Tetapi kebanyakkan dari tradisi barat itu tidak bersesuaian dengan lunas-lunas hukum syarak dan kesusilaan yang luhur.Bila kita mengambil tradisi yang baik-baik sahaja tentu mendatangkan faedah dan hasil yang baik. Ini sesuai dengan hadith Rasulullah (s.a.w) :الحكمة ضالّة المؤمن أنّى وجدها فهو أحقّ بها“Hikmat/kebijaksanaan itu barang yang dicari oleh mukmin barang di mana perolehinya maka lebih utama dimilikinya.”Tetapi jika kita membuang tradisi-tradisi Islam seperti mengawal maruah wanita, mengawal muda mudi daripada matlamat-matlamat yang liar dan menjaga nilai-nilai keruhanian bermakna kita memerangi unsur-unsur kehidupan yang baik dan mendatangkan kerosakkan kepada generasi sekarang dan akan datang. Oleh yang demikian wajiblah kita berwaspada dalam membuat reformasi atau revolusi mental itu.Wanita Dengan KerjayaTiada larangan bagi wanita Islam untuk menjadi ahli perniagaan, doktor, peguam, pendidik, jururawat, kerani dan sebagainya untuk mencari rezeki yang halal dalam syarak demi mengisi keperluan negara dan tuntutan hidup yang luas itu selagi bidang-bidang pekerjaan itu munasabah dan keadaan persekitarannya dapat mengawal adab-adab dan maruahnya sebagai wanita.Berdasarkan lunas Islam orang yang paling layak mengubati pesakit perempuan ialah doktor perempuan sendiri, orang yang paling layak mengajar kanak-kanak dan pelajar perempuan ialah tenaga pengajar perempuan, orang yang paling layak dan munasabah menjadi jururawat ialah wanita sendiri. Di dalam Islam semua kerja-kerja yang membina itu adalah mulia dan menjalankan tugas-tugas demi mengisi keperluan umat Islam itu termasuk di dalam makna berjuang Fi Sabilillah, Cuma yang menjadi kesulitan ialah sikap kita terhadap kerjaya itu. Kalau kita bersikap untuk bebas lepas daripada nilai-nilai ruhani atau bersikap ingin maju setanding dengan kaum lelaki dalam segenap bidang kerja, samada sesuai atau tidak, atau memandang bahawa kerja-kerja mendidik anak atau mengurus rumahtangga itu perkara kecil yang tidak sesuai dengan kaliber wanita intelek di zaman moden ini maka sikap-sikap seperti itu tidak benar, kerana ketinggian kaum wanita terserah kepada keluhuran budi pekerti, ketinggian akal fikiran, kebersihan hati dan kebolehannya di dalam menjalankan kerja yang ditugaskan kepadanya.Jika ketua pejabat memilih seorang wanita genit kerana kegenitannya walhal ada berpuluh lagi wanita lain yang kurang genit yang lebih cekap dan lebih berpengalaman, lantaran untuk menjamu selera mata memandang di dalam pejabat, maka tindakkan itu amatlah keji dan tidak bertanggungjawab.Kalau seseorang pengurus syarikat memilih wanita jelita walhal ada wanita-wanita lain yang kurang cantik lantaran menarik pelanggan-pelanggan ke kedainya, maka dorongan itu tidak baik sebab menggunakan tarikan seks sebagai cara melariskan perdagangannya.Demikianlah juga kalau pengurus sebuah firma memilih gadis jelita menjadi setiausaha atau kerani atau pegawai untuk menjamu selera mata dan menarik seramai pelanggan maka hakikatnya tidak jujur. Walhal perkara-perkara yang disebut di atas tadi sudah menjadi begitu lumrah dan tradisi kepada kehidupan hari ini. Ini adalah gejala-gejala yang mesti disingkir dan dibendung untuk mengawal ketenteraman masyarakat dan pentingnya untuk mencari keredhaan Allah Ta’ala.Tradisi-tradisi yang kononnya moden inilah secara tidak langsung memberi dorongan atau pengaruh yang kuat supaya wanita-wanita Islam lebih berani dan lebih tidak bermaruah untuk memasuki sebarang pertandiangan seperti ratu cantik, ratu fesyen, ratu siswa, johan pop, johan menari, bintang itu dan bintang ini, sedangkan seluruh dorongan dan matlamatnya ialah kejantinaan seratus peratus.Apabila unsur kejantinaan yang tidak sihat itu menular ke dalam masyarakat, tunggulah saat kehancuran. Sejarah telah membuktikan bahawa kejatuhan Empayar Rumawi yang kukuh itu lantaran seks dan kehancuran moral.
Dipetik dari : Manusia dan Islam (Prof. Dr. Haron Din)
posted by humaira` at 02:56

0 Comments:
Post a Comment
<< Home